Wednesday, January 12, 2011

Hikayat Puteri Gunung Ledang


Dalam Sejarah Melayu, Puteri Gunung Ledang dikatakan amat cantik hingga diingini oleh Sultan Mahmud dari Kesultanan Melaka. Pendekar yang diutuskan meminang ialah Laksamana Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa orang lain. Semasa kecil, Hang Tuah berguru silat di atas Gunung Ledang dan biasa dengan jalan ke puncak Gunung Ledang. Akan tetapi kala ini, umurnya telah terlalu tua untuk ke puncak Gunung Ledang.

Dengan itu, Tun Mamat ditugaskan ke puncak dan menemui seorang nenek tua atau lebih dikenali sebagai nenek kebayan yang sebenarnya, samaran kepada Puteri Gunung Ledang. Puteri Gunung Ledang dikatakan menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tak mampu ditunaikan, ialah:

  • 1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 7 dulang hati nyamuk.
  • 7 dulang hati kuman.
  • 7 tempayan air mata anak dara.
  • 7 tempayan air pinang muda.
  • 1 mangkuk darah Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Mahmud Shah, dan yang masih kanak-kanak lagi.

Semua syarat itu sanggup ditunaikan oleh Sultan Melaka kecuali darah puteranya.

Dalam Hikayat Hang Tuah, Sultan yang meminang dengan Puteri Gunung Ledang bukannya Sultan Mahmud, tetapi Sultan Mansor Shah.

(Dalam karya agungnya Sulalatus al-Salatin (Sejarah Melayu) Tun Sri Lanang mengisahkan tentang Sultan Mahmud yang setelah kematian isteri, berhasrat meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak mahu beristerikan puteri raja biasa kerana ia bererti sama dengan raja-raja lain. Baginda ingin tampil lain dari yang lain. Katanya, “…yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja yang lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang, kita hendak menyuruh meminang Puteri Gunung Ledang;…….” ).

Peminangan Puteri Gunung Ledang

Kisah ini bermula dengan Sultan Mahmud yang telah kehilangan permaisurinya setelah beliau mangkat. Maka dia pun bertanya dengan bendahara serta segala orang besarnya tentang anak raja yang ingin dipinangnya. Dengan itu ,raja memutuskan untuk meminang dengan puteri gunung ledang dan mentitahkan Tun Mamat, Laksamana dan Sang Setia serta orang untuk pergi ke Gunung Ledang. Mereka harus mengharungi angin yang bertiupan terlalu keras dan jalan yang sukar.

Tun Mamat dan dua orangnya pun mendaki Gunung Ledang tersebut sementara Laksamana dan Sang Setia tunggu di bawah. Ketika mereka sedang mendaki, mereka terasa seperti sedang terbang kerana angin yang bertiupan amat keras dan mereka dapat mencapai awan. Maka Tun Mamat memasuki ke dalam taman yang terlalu indah perbuatannya lalu ternampak seorang perempuan tua yang baik rupanya yang mengakui bahawa dia pengetua Tuan Puteri Gunung Ledang. Dia berkata bahawa Puteri Gunung Ledang hendak satu jambatan emas, satu jambatan perak dari Melaka. Untuk meminang tuan puteri, dia meminta hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, airmata setempayan, air pinang muda setempayan, darah Raja semangkuk dan darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Setelah itu, Tun Mamat dan orang-orangnya, Laksamana dan Sang Setia pun kembali ke Melaka menghadap Sultan Mahmud untuk memberitahunya segala kata yang telah didengarinya. Maka Sultan Mahmud berkata bahawa semua kehendaknya itu dapat dia tunaikan, kecuali mengeluarkan darah kerana tiada sampai hati.

No comments:

Post a Comment